Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidilfitri maaf zahir dan batin kepada semua yang mengenali diri ini.Tidak lupa juga saya,hamba Allah yang dhoif ini ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf di atas segala salah dan silap diri ini.Mudah-mudahan segala amalan kita pada bulan Ramadhan tahun ini mendapat ganjaran yang besar disisi AllahTaala.Amin.

Taqabalallahu Minna Wa Minkum Taqaballah Ya Karim...

Aku bukanlah manusia yang sempurna.Mungkin pada zaman yang silam aku pernah melukakan hati kamu,mencabut rasa tenang dalam dirimu,mungkin kata-kataku sungguh menyakitkan hatimu,tiada apa yang aku persembahkan kepadamu sahabat melainkan ku hulurkan tangan memohon seribu kemaafan.Maafkan aku bersama dengan doamu.

تقبل الله منا ومنكم تقبل يا كريم...كل عام وأنتم بخير
الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد



Di bawah ini, saya lontarkan sedikit idea kepada kita semua bagaimana untuk kita menyambut ketibaan syawal nanti.Ianya hanyalah sebagai tazkirah untuk diri saya yang dhoif ini agar mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Sunnah Rasul ketika menyambut Hari Raya Eidilfitri.

1. Berjaga malam pada hari raya dengan ibadah,zikir, solat,membaca Al-Quran, bertakbir, bertasbih dan istighfar.

2.Mandi dan memakai wangi-wangian, dan memakai pakaian terbaru.

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يلبس برد حبرة في كل عيد
Adalah Nabi SAW, memakai baju buatan Yaman yang indah pada tiap hari raya.(boleh rujuk Sunan Kubra lil Baihaqi juzuk 3,mks 280,dan Musnaf Abdul Razak juzuk 3 mks 333.)


3.Pada Hari Raya Eidfitri, hendaklah makan dahulu sebelum mendirikan solat hari raya

.كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى
يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ
Adalah Rasulullah SAW tidak bergerak menuju ke tempat solat pada hari Raya Eidfitri,sebelum makan beberapa biji kurma dengan jumlah yang ganjil.(Hadis Riwayat Bukhari dalam kitab Jumuah dalam bab Makan pada Hari Eidfitri sebelum keluar,no 900.Namun Di sana terdapat juga riwayat daripada tirmizi, Ibn Majah, dan Ahmad yang menyebut perkara yang sama.)

4. Menggunakan jalan yang berbeza untuk pergi dan pulang dari Masjid.

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
(Hadis Riwayat Bukhari dalam kitab Jumuah pada Bab siapa yang melalui jalan lain apabila pulang tempat solat hari Eidfitri, no 933.Di sana juga terdapat Riwayat daripada Ahmad,Muslim, dan Tirmizi yang juga menyebutkan perkara yang sama.)

5.Bertakbir Pada Hari Raya.
Sewajarnyalah kita membesarkan Allah pada Hari di mana kita telah mencapai kejayaan ini.Mudah-mudahan kita berjaya di dunia dan akhirat.
Allah berfirman:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Sempurnakanlah Bilangan Puasa dan besarkanlah Allah di atas petunjuk yang telah diberikan kepadamu.(Surah Al-Baqarah: 185)

6.Sunat Mengucapkan Selamat Hari Raya.

Para sahabat Rasulullah SAW apabila bertemu sesama mereka akan mengucapkan Taqabalallah Minna Waminkum.(semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).(Boleh rujuk Sunan Kubra lilBaihaqi Juzuk 3).

7.Banyakkan Sedekah, memberi senyuman dan menunjukkan kegembiraan kepada orang yang beriman yang ditemui.Melakukan ziarah kepada ahli keluarga dan sahabat handai.

Untuk mendapat info lanjut,boleh rujuk:
-Al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu(edisi arab) atau Fiqh Islam dan PerundanganNya(edisi melayu),karya Dr Wahbah Zuhayli.
-Fiqh Sunnah(edisi Arab dan Melayu) Karya Sheikh Sayid Sabiq.
-Fiqh Manhaji(edisi Arab)atau Fiqh Syafie Karya Dr Mustofa Al-Bugha,Dr Mustofa Khin, dan Ali Asy-Syarbaji.
-Pedoman Puasa Karya Prof Dr T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy.

Baca Seterusnya...

Tinggal Beberapa hari lagi kita akan menyambut EidFitri.Maka bermulalah episod kemenangan bagi Umat Islam di seluruh tanah air.Tibalah syawal yang senantiasa ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar daripada kita semua.

Bahkan di pertengahan bulan Ramadhan lagi, promosi dan jualan untuk Hari Raya sudah giat berjalan di hampir semua 'Shopping Complex' dan pasaraya.

Ditambah lagi dengan iklan-iklan di kaca televisyen yang sememangnya sudah 'bersiap sedia' dari awal lagi untuk menghiburkan penonton setia mereka.Lepas satu movie satu movie,dari satu 'entertainment show' ke satu show yang lain akan ditayangkan bagi memeriahkan sambutan syawal kononnya.

Tidak dinafikan juga ada juga program yang begitu bermanfaat dan berguna, namun jumlahnya hanya boleh dibilang dengan jari.Ini dapat dibuktikan lagi , apabila saya sendiri melihat dengan jelas kesan daripada promosi ini apabila 'turun ke KL' sebelum pulang ke Terengganu.Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang, tetapi manusia masih lagi berpusu-pusu dalam “SOGO”.

Jalan yang menghala dan keluar daripada SOGO, sesak teruk.Mungkin ada yang berbuka puasa di SOGO petang itu.Penangan raya ,begitu dahsyat sekali melanda orang kita.Apa tidaknya, apabila orang kita sanggup beratur panjang, menunggu giliran masing-masing untuk membayar pakaian yang dibeli.

Mungkin tidak ada salahnya untuk kita berbelanja pada waktu ini, tetapi jangan pula kerana asyik berbelanja, ruh Ramadhan hilang daripada kita semuanya.Sedarkah kita semua, ketibaan Syawal bermakna pemergian Ramadhan Kareem.

Bulan yang padanya Rahmat,berkat dan penuh dengan Fadhilat.Sewajarnya di hujung waktu ini, kita membuat muhasabah menghitung diri kita sendiri.

Bagaimana dengan amalan dan ibadah kita pada Ramadahan kali ini,adakah meningkat, berkurangan , atau masih di tahap yang sama.Mudah-mudahan amalan kita meningkat pada bulan Ramadhan kali ini, walaupun peningkatannya hanya 'cukup makan'.

Mudah-mudahan Allah memberikan kita peluang lagi untuk bersama dengan Bulan Ramadhan pada tahun hadapan kerana fadhilatnya cukup besar.

Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ
مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Solat Lima Waktu, Jumaat ke Jumaat yang berikutnya, Ramadhan ke Ramadhan, menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antaranya,asalkan dosa besar dijauhi.
Hadith Riwayat Muslim No 344, bab Thoharah dalam kitab Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan.Juga diriwayatkan Imam Ahmad Hadith no 8830.

Bagus juga jika sekiranya, kita renungkan ucapan Dua orang sahabat Rasulullah SAW, apabila menjelangnya akhir Ramadhan:

(Rujuk kata-kata ini Dalam "Pedoman Puasa" Karya Prof Dr T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy.)

Kata-Kata Saidina Ali:

يَالَيْتَ شِعْرِى مَنْ هَذَا المَقْبُولُ فَنُهَنِّئُهُ، وَمَنْ هَذَا المَحْرُومُ فَنُعَزِّيهِ
"Dapatkah kiranya aku mengetahui, siapakah gerangan yang telah pasti di terima puasanya, supaya aku mengucapkan tahni'ah berbahagia?Siapakah gerangan yang bernasib malang, supaya aku bersenangkan hatinya?"

Kata-Kata Ibn Mas'ud:

اَ يُّهَا المَقْبُولُ هَنِيئًا لَكَ أيُّهَا المَرْدُودُ جَبَرَ الله مُصِيبَتَكَ

"Wahai saudara-saudara yang telah diterima Allah puasanya, bersenang gembiralah engkau dan selamat berbahagialah engkau.Tetapi wahai orang yang ditolak amal puasanya, mudah-mudahan Allah akan menutup bencana yang telah menimpa engkau.
Baca Seterusnya...
Kita sering terlupa dengan peluang keemasan yang sedia terhidang di hadapan kita.Bahkan kita sentiasa memikirkan sesuatu yang begitu jauh daripada realiti yang ada sekarang.

"Aku rasalah, sem depan, aku nak mula study bersungguh-sungguh, kalau tak nahas aku dibuatnya,"Azam seorang student yang mula mengatur strategi baru untuk berjaya, walaupun hari peperiksaan menjelang masih berbaki 7 hari lagi.Namun dia mudah menyerah kalah dengan kelemahan dirinya sendiri.Alangkah baik, jika dia tahu bahawa dia masih boleh berjaya dengan keputusan yang baik kalau berusaha bersungguh-sungguh dalam masa 7 hari itu.

Begitulah kebiasaan sikap kita.Merenung dan memikirkan sesuatu yang tidak pasti dengan meninggalkan perkara sekarang yang sudah semestinya berlaku.

Kita sekarang betul-betul berada di penghujung Ramadhan.Walaupun di penghujung, tetapi masih lagi berbaki 4 hari.Masih banyak lagi amal ibadah, amal soleh yang boleh dilakukan, dan banyak lagi maksiat dan kemungkaran yang boleh kita tinggalkan.

Sempat lagi kita ingin menyahut beberapa seruan dan pesanan daripada Rasulullah SAW:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه
ُ
Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dan amalan dosa, maka Allah SWT tidak akan memberikan ganjaran kesusahannya meninggalkan makan dan minumnya.
(Hadis riwayat Bukhari hadis no 1770, bab puasa, dalam kitab "sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dan amalan dosa dalam puasa. )


وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ
سَابَّهُ أَحَدٌ أو قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

Ketika hari salah seorang kamu berpuasa, janganlah dia berkata keji dan janganlah menjerit.Sekiranya seseorang mencercanya atau ingin menganggunya, hendaklah dia berkata: aku sedang berpuasa.
(Hadis riwayat Bukhari hadis no 1771, bab puasa, dalam kitab "adakah orang berpuasa berkata Aku berpuasa ketika dikeji.)


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang telah dilakukan.

(Hadis riwayat Bukhari hadis no 37,bab puasa, dalam kitab puasa ramadhan penuh pengharapan dan iman.)

Dan banyak lagi pedoman Rasulullah SAW yang boleh kita lakukan.

Saya pernah mengungkapkan satu pernyataan:

'Bersungguh-sungguh lah beramal pada Bulan Ramadhan ni...walau sehingga terpaksa berlakon dalam beramal...Moga keluar dari madrasah Ramdhan kita tahu apalah erti ibadah kalau hanya berlakon'.

Berlakon dalam erti kata, apabila contohnya:

A: seorang yang tidak pernah solat berjemaah di masjid.

B: seorang yang tidak pernah menutup aurat.

C: seorang yang tidak pernah solat.

D: seorang yang sentiasa bercakap kotor.

Namun apabila memasuki bulan Ramadhan A,B,C,D meninggalkan semua 'rutin harian' mereka atas sebab Ramadhan, bukannya kerana Allah.Tetapi kita sebenarnya tidak boleh mudah mencemuh mereka.

Kita semua tahu bahawa Ramadhan ibarat sebuah 'Madrasah Jiwa', yang cukup ampuh sebenarnya untuk mengubah manusia yang tak terdidik selama 11 bulan.Mudah-mudahan didikan Ramadhan sebulan mampu memadamkan semua kekotoran dosa dan maksiat yang silam.

Jangan lafazkan cukuplah hanya disini, sekiranya masa dan kesempatan masih terlalu banyak terhidang di hadapan.

Moga-moga kita mendapat 'Husnul Khatimah' pada akhir Ramadhan nanti.


وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Barangsiapa yang bersungguh-sungguh pada jalan kami, Kami akan tunjukkan pada nya jalan kami.Sesungguhnya Allah bersama orang yang berbuat kebaikan.

(Surah al-ankabut: ayat 69).

*Terjemahan Hadith daripada Kitab Ramadhan Bersama Rasulullah SAW..Untuk tempahan hubungi saya.

Baca Seterusnya...
Kita Sering kali didedahkan dengan ungkapan atau pernyataan yang berbunyi:

"Kejayaan tidak akan dapat dihasilkan dengan mensia-siakan banyak perkara yang kita anggap remeh-temeh dan kecil".

Dalam erti kata yang lain, kejayaan tidak akan berhasil dengan kita hanya melakukan perkara yang kita anggap besar semata-mata, tetapi faktor kejayaan juga di tentukan oleh perkara kecil tadi.

Contohnya seorang pelajar tingkatan 5 yang akan menduduki SPM pada satu tahun.Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mengapai keputusan 12A dengan melakukan banyak latih tubi, menyertai study group, bertanyakan guru jika ada yang tidak difahami dan banyak lagi yang telah dilakukan.Semua perkara ini dianggap besar pada pandangannya.Namun pada hari peperiksaan tiba, dia lupa untuk membawa slip peperiksaan SPM yang dalam kepalanya, slip itu tidaklah penting mana.Hanya sekadar kertas yang tanpanya juga dia boleh menduduki SPM.Akhirnya dia gagal dalam SPM.

Begitulah juga konsepnya dalam ketaatan kita kepada Allah.Tidak dinamakan ketaatan hakiki, jikalau taat kita itu hanya dalam perkara yang kita anggap besar.Ketaatan juga mestilah pada perkara yang kita rasakan kecil.Kecil atau besar sesuatu ketaatan kepada Allah, semuanya ketaatan kepada Allah, tidak ada bezanya.

Pandangan manusia memang tidak sama dengan pandangan Allah.Seringkali, manusia memandang perkara yang besar perlu didahulukan dengan meninggalkan perkara pada pandangan mereka kecil.Besar atau kecil larangan Allah, ianya tetap larangan Allah.Besar atau kecil suruhan Allah, ianya tetap suruhan Allah.


Allah berfirman dalam Quran:


وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمٌ

Dan kamu menyangka perkara itu kecil,padahal di sisi Allah itu sesuatu dosa besar.
(Surah AnNur ayat 15.)

"Ustaz, saya pakai baju kurung ni pun dah kira cukup baik,cuma tudung je tak pakai.Tuh, si minah tuh lagi teruk daripada saya, siap terkeluar lagi nampak pusat,"Luahan rasa tidak puas hati seorang pelajar perempuan yang telah 'ditangkap' ustaz sekolahnya ketika terserempak di Shopping Complex.

Ini hanya sebagai satu contoh sahaja di mana ramai wanita Islam pada hari ini menganggap perkara yang kecil di sisi mereka, tetapi sebenarnya besar di sisi Allah.Melabuhkan tudung dianggap perkara remeh sahaja, setelah tubuh di litupi dengan baju kurung yang labuh, sedangkan meninggalkan tudung samalah juga dengan pakaian nampak pusat.Kedua-duanya mendedahkan aurat.

"Aku tak nak pinjam pinjaman x tuh untuk biayai pembelajaran kat u nanti, riba tuh.1% pun riba juga, kan ko tahu,"Seorang mahasiswa meluahkan pandangannya kepada rakannya.
"Eh tak pe, kita anggap je ianya cas perkhidmatan,"Fatwa silap daripada seorang rakan yang bertindak sebagai penasihat.Riba walau sekecil mana sekalipun, ia tetap riba di sisi Allah, hukumnya tidak berubah.

"Ko, kalau tak nak perkara ni diketahui orang, pilihlah sama ada nak bagi aku upah atau rahsia ko terbongkar.Alah bukan banyak pun aku mintak,RM200je.,"Ujar seorang pekerja syarikat yang ingin membuli rakannya yang 'kantoi' dalam maksiat.

Memang benar RM200 tidak begitu besar jika dibandingkan dengan gaji bulanan seorang pegawai atasan sebuah syarikat, tetapi oleh kerana ianya maksiat, maka di sisi Allah ianya besar.Rasuah walau sedikit mana pun nilainya tetap haram di sisi Allah.

"Biarlah...apa yang nak dikisahkan, mereka tu budak-budak lagi, bukan tahu apa-apa pun.Tunggulah biar mereka besar sikit lagi,"Alasan seorang ibu yang membiarkan anaknya tidak solat walaupun usia anaknya sudah menjangkau 7 tahun.

Baginya isu mendidik atau membiasakan anak-anak yang berusia 7 tahun untuk solat adalah perkara yang kecil.Kehancuran bagi Umat ini bagi sesiapa yang menganggap urusan solat lima waktu itu adalah perkara kecil.

"Apa ni Man, kan ni bulan puasa..Hormatlah sikit.Agak-agak lah kalau pun ko nak keluar dengan awek ko pun."marah seorang sahabat yang 'thiqah' kepada sahabatnya.

Bagaimana manusia boleh sanggup bersusah payah menahan letih dan dahaga dalam bulan ramadhan, tetapi tewas dengan hawa nafsu sendiri.Mungkin baginya kecil sahaja soal 'couple ringan-ringan' tetapi besar di sisi Allah.

Ramadhan sebenar mendidik manusia supaya menjadi hamba Allah dalam semua perkara.Tunduk dan patuh kepadaNya pada semua perkara kecil mahupun besar.Allah menggunakan kalimah المتقون dalam Quran bagi menggambarkan betapa besarnya 'signifikan' taqwa dalam kehidupan manusia.Mudah-mudahan Ramadhan kali ini mampu sedikit sebanyak memberikan keinsafan bahawa sesuatu mungkin kecil di sisi kita, tetapi besar di sisi Allah.

Baca Seterusnya...