Sering kali kita beranggapan bahawa ujian Allah itu datang dalam bentuk kemiskinan, kesusahan, kesempitan hidup, dan kekurangan harta benda.Ini sebenarnya bertepatan dengan firman Allah Taala yang bermaksud:

Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: ayat 155).

Memang tidak dinafikan lagi bahawa kemiskinan hidup di dunia ini ialah salah satu daripada bentuk ujian Allah kepada hambaNya di atas muka bumi ini untuk menguji siapa di kalangan hambanya yang paling kuat imannya.

Namun ramai juga, mungkin tidak sedar bahawa kekayaan atau keinginan untuk menjadi kaya juga merupakan medan di mana Allah menguji iman seseorang hambanya.Sesuatu yang tidak boleh kita sangkalkan lagi, kebanyakan manusia akan lebih berharap dan hampir dengan Allah ketika mereka susah dan tidak mempunyai apa-apa, berbanding ketika mempunyai segala-galanya di tangan mereka.

Bahkan ujian dalam bentuk kesenangan harta itu lebih besar, berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

Bukan kemiskinan yang ku bimbang menimpa kamu tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan di hadapan kamu kemewahan dunia sebagaimana telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana umat dahulu kala juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu ia membinasakan kamu seperti mana umat dahulu kala juga telah dihancurkan oleh sifat sedemiian.” (riwayat Bukhari)

Lubuk Emas

Bahkan manusia yang sudah kaya tidak berasa puas dan cukup dengan hanya memiliki sebuah ‘lubuk’ kekayaan sahaja.Inilah realiti yang telah disingkap oleh Rasulullah lama dahulu,Sabda Rasulullah SAW:

Sekiranya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan diperutnya tanah (mati)( Riwayat al-Bukhari)

Begitulah hebatnya penangan di sebalik ujian nikmat kekayaan yang dimiliki seseorang.
Ujian Allah terhadap nikmat kekayaan itu berlaku dalam dua bentuk iaitu sebelum dan selepas manusia dikurniakan nikmat kekayaan.

Sebelum dikurniakan nikmat kekayaan dan harta itu, manusia diuji dengan cara yang digunakan untuk mendapatkan harta dan kekayaan tersebut.Iman diuji sama ada menggunakan cara yang halal atau haram untuk mendapatkannya.Hanya ilmu yang betul dan iman yang sejahtera sahaja, membolehkan manusia berfikir secara rasional bagi menentukan jalan mana yang sepatutnya dipilih untuk menjadi kaya.

Selepas dikurniakan nikmat harta dan kekayaan pula, manusia diuji, ke mana dan bagaimana harta itu dibelanjakan.

Yang Penting Caranya

Islam tidak pernah menghalang Umatnya untuk menjadi kaya, tetapi Islam menitik beratkan soal ‘cara’ untuk mendapatkan harta dan kekayaan tersebut.

Mungkin ada juga yang mengetengahkan isu ‘survival hidup’ bagi menghalalkan semua cara untuk memiliki sesuatu.Namun Islam telah meletakkan asas yang jelas iaitu, matlamat tidak pernah menghalalkan cara.

Walaupun niat Robin Hood begitu murni untuk membantu mereka disekelilingnya yang susah,caranya yang tidak betul itu telah ‘menengelamkan’ amalan kebaikannya dalam lautan kesesatan.Biarlah si kaya dengan kekayaannya, yang miskin haruslah berusaha walaupun daripada bawah dengan cara yang betul.

Analogi kisah Robin Hood ini boleh kita samakan dalam situasi mereka yang beralasan seperti berikut:

“Saya masuk Skim Cepat Kaya ni bukan apa, saya ni orang susah, anak ramai.Hanya dengan cara ni saja saya boleh kaya,”Luahan seorang ayah yang tersilap langkah.

Pemuda ini sedang diuji...

“Saya masuk pertandingan ini kerana saya anak sulong, kalau saya menang, duit tu bolehlah saya bantu menyara adik-beradik saya,”Harapan seorang abang yang ingin mencurahkan bakti.

“Saya kepunan tengok jiran sebelah beli kereta baru, tu yang saya beli kereta baru ni,”Kegembiraan seorang ayah yang baru pulang membuat pinjaman konvensional.

“Ko jangan bimbang, kawan aku tuh jual insuran.semua benda boleh ‘cover’,”cadangan seorang kawan yang ‘entah pa pe’.

Pendek kata, selagi perkara dan cara itu halal di sisi syarak, maka peluang untuk anda memilki sesuatu dan menjadi kaya sedia terhidang.

Realiti yang saya tahu

Perkara ini berlaku beberapa tahun yang lalu,

Ianya berlaku kepada seorang pekerja biasa sebuah syarikat kereta,seorang mualaf.Sebelum masuk Islam, dia pernah bermain loteri.Selepas masuk Islam, dia diuji Allah apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah loteri sebanyak 6 juta.Dek kerana iman yang lemah, dia tertawan dengan habuan hadiah loteri itu.Kini hidupnya senang dengan kereta yang hebat Mercds Kompressor berbanding dulu kereta honda buruk lama.

Moga Allah memberikan hidayah kepadanya dan mereka yang tersilap langkah untuk kembali kepada Allah di atas kesilapan yang telah dilakukan.

Moga Allah memberikan kekuatan Iman dan Amal kepada kita semua apabila berhadapan dengan nikmat harta dan kekayaan.

0 comments: