Kebanjiran Rancangan realiti TV dalam Negara kita boleh diibaratkan sebagai cendawan tumbuh selepas hujan, memenuhi skrin siaran televisyen kita.Kebanyakan rancangan realiti TV ini lebih berbentuk pencarian bakat dan bintang baru dalam bidang hiburan tanah air.

Sebut sahaja rancangan seperti Mentor, Akademi Fantasia, Malaysian Idol, dan My Star LG dan banyak lagi, pasti ramai anak muda kita mengetahuinya.Ianya mengundang jutaan peminat di kalangan muda-mudi kita di seluruh Negara, apatah lagi ianya disiarkan pada waktu perdana dan pada hujung minggu, waktu kemuncak orang ramai menonton televisyen.

Mungkin segala penat dan stress ketika bekerja di tempat kerja bagi yang dewasa dan ketika belajar bagi yang ke sekolah dihilangkan dengan menonton rancangan ini.Budaya orang kita memang begitu agaknya.

MAKSIAT DALAMNYA

Sememangnya kita mengakui bahawa program sebegini memang melalaikan muda-mudi kita dan ianya tidak lain tidak bukan merupakan rancangan yang merosakkan akhlak dan peribadi muda-mudi islam yang ada sekarang.Bahkan kita boleh mengatakan bahawa ianya merupakan salah satu daripada sarang virus yang menggalakkan masyarakat kita melakukan maksiat.

Usah bicara soal penutupan aurat yang sempurna, batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, matlamat dan tujuan hidup yang sebenar, mendirikan solat dalam program sebegini, semuanya di ‘bakul sampah kan’ dan tidak diendahkan oleh penerbit dan peserta.

Ini belum lagi dikira tentang jumlah jutaan wang yang telah dibelanjakan oleh orang kita untuk mengundi peserta rancangan reality TV kegemaran mereka.Bayangkan duit yang sebegitu banyak jika dikumpulkan, pasti dapat membantu saudara-mara seagama yang masih ramai lagi hidup melarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

ALTERNATIF

Alhamdulillah sekarang, sudah ada usaha mengalihkan pandangan masyarakat kita daripada rancangan reality TV yang hanya berbentuk hiburan melalaikan kepada rancangan yang lebih bermanfaat iaitu Program Akademi Quran, dan Imam Muda.

Walaupun bilangan hanya boleh dibilang dengan jari sahaja, namun diharapkan ianya menjadi alternatif kepada rancangan reality TV yang ‘entah pape’ sebelum ini.

Secara rambang kita boleh katakan dua program ini tak kurang hebatnya mendapat tempat di hati masyarakat kita dan antarabangsa.Imam Muda contohnya mendapat ‘publisiti’ yang agak ‘grand’ apabila mendapat liputan daripada BBC, dan beberapa lagi media antarabangsa.

IMPIAN SAYA

Saya secara peribadi berharap dan mengimpikan mungkin pada suatu hari nanti akan ada satu lagi AF dan sudah pasti,ianya bukan Akademi Fantasia.AF yang saya maksudkan ialah (Akademi Fiqh).

Sebagai orang berada yang berada dalam lapangan Fiqh, saya berasa wajar dan amat penting jika rancangan reality TV Akademi Fiqh diterbitkan.Ianya hanya impian saya sahaja dan imaginasi fantasi yang diharapkan menjadi realiti pada masa akan datang.

Sebuah rancangan yang mengajak pesertanya mendalami ilmu Fiqh secara mendalam dan cuba memahamkan penonton di rumah tentang beberapa persoalan Fiqh harian yang menjadi kemusykilan mereka dari zaman berzaman.

Segala perkara yang biasanya menjadi persoalan masyarakat tentang soal ibadah akan cuba dibincangkan secara mendalam supaya apa yang disampaikan mampu dilaksanakan oleh peserta dan penonton di rumah dengan sempurna.

Kita mesti mengakui bahawa di antara sebab mengapa ramai orang kita yang tidak melakukan ibadah seharian seperti solat dan lain-lain ialah kerana mereka menggangap dalam beberapa keadaan sukar untuk melaksanakannya.

Fahaman bahawa sukar melakukan ibadah ini disebabkan mereka tidak memahami sebenarnya bagaimana untuk melakukan ibadah tersebut.

Ambil sahaja cara ‘mengambil wuduk’ dan mendirikan solat ketika sakit atau uzur.Berapa ramai pesakit yang berada di hospital tahu tentang perkara ini.Ini belum lagi perkara yang berkaitan jamak dan qasar solat ketika musafir, dan banyak lagi isu lain yang sepanjang pengamatan saya, masyarakat kita masih memerlukan banyak lagi bimbingan dan tunjuk ajar.

Jika mereka tahu dan faham bahawa cara untuk melakukannnya sudah semestinya mereka bersegera untuk melakukannya tanpa ‘berat punggung’ dan ‘banyak soal’.

Malah mereka akan bergembira dan berseronok untuk melakukan ibadah walaupun dalam keadaan mereka ‘telentang’ kesakitan.Kesakitan sepatutnya lebih menginsafkan setiap pesakit untuk menghampiri Allah dan bukannya sebagai alasan untuk meninggalkan kewajipan sebagai seorang muslim.

Bagi muslimat, seisi Fiqh Nisa' yang melibatkan tajuk pakaian muslimah yang sebenar, persoalan haid dan nifas,nikah cerai dan sebagainya harus juga dibincangkan.Ini memandangkan masih ramai lagi perempuan islam di luar sana yang tidak mengetahui bab-bab sebegini ini sehingga ada yang dengan ringan mulut berkata "Saya Cuti hari ni" apabila ditanya kenapa tidak solat.

fesyen wanita islam pada hari ini pula seakan-akan 'serba-serbi' boleh dan apa yang cantik di mata orang habis semuanya disapu, menunjukkan ketidakfahaman perempuan kita dalam bab aurat dan hijab.

Selain itu,Isu perbankan dan kewangan Islam juga mestilah dimasukkan ke dalam modul pengisian program ini.Ianya bagi menolak dakwaan ramai pihak bahawa sistem kewangan konvensional dan sistem kewangan Islam adalah sama.

Bagi yang tahu, semestinya mereka dapat membezakan antara kedua-dua sistem ini.Betapa banyak produk dan institusi kewangan islam yang berkembang di dalam negara kita, tetapi masih ramai yang ‘melanggan’ sistem yang tidak halal.

Maka saya berasa, penerbitan rancangan ini amat ‘signifikan’ jika kita melihat realiti yang ada dalam masyarakat kita hari ini.

Mungkin ada juga yang berpendapat, macam mana nak belajar Fiqh secara mendalam dalam masa beberapa minggu atau bulan sahaja.Memang benar, Fiqh tidak boleh dipelajari secara mendalam dalam masa yang singkat, tetapi diharapkan dalam masa yang singkat itu, semua perkara yang menjadi asas dan basic dalam ilmu Fiqh berjaya difahamkan kepada peserta dan penonton di rumah.

Setidak-tidaknya isu pokok yang menjadi ‘dilemma’ masyarakat berjaya dibereskan dalam masa yang singkat itu.

Mungkin juga, ianya tidak mampu mengajar segala-galanya, tetapi ia dapat menyemai semangat dan menyuntik kesedaran peserta dan penonton untuk mengambil tahu tentang seluk beluk ibadah yang dikerjakan, di samping menyedarkan generasi kita supaya mengutamakan bab ‘halal dan haram’ sebelum melakukan sesuatu.

Persoalan mazhab yang pelbagai harus dibicarakan juga, supaya peserta dan penonton di rumah terbuka kepada perbincangan ulama-ulama selain mazhab rasmi Negara ini.

Mungkin juga ada yang memandang serong kepada sikap keterbukaan ini.Namun jika kita menerima pendekatan Akademi Quran (AQ) sebagai contoh, yang mana gaya dan cara bacaan imam qiraat lain diperdengarkan kepada orang ramai, bagaimana pula dalam masa yang sama kita tidak boleh menerima pendekatan membicarakan ilmu Fiqh dalam pelbagai mazhab.

Bacaan Qiraat Imam lain, kadang-kadang boleh menjadikan makna bertukar dan ayat difahami dengan makna yang berlainan.Begitu lah juga, imam mazhab, mereka juga berbeza pendapat antara satu sama lain.Namun meninggalkan ‘khazanah fiqh’ yang bernilai ini dengan begitu sahaja, adalah tindakan yang dirasakan kurang bijak.

Sebenarnya ‘khazanah Fiqh’ inilah yang mampu menjawab semua persoalan hidup masyarakat kita pada hari ini, tanpa menafikan keperluan kepada ijtihad baru dalam beberapa masalah kontemporari.

AKHIRNYA

Kalau impian ini menjadi realiti, kita mengharapkan topic perbualan harian masyarakat lebih tertumpu dan beralih kepada persoalan hukum Fiqh dalam kehidupan seharian mereka, berbanding sebelum ini yang banyak berbual kosong semata-mata.Masa kita tidak lagi dihabiskan dengan membaca keratan akhbar yang berkaitan dengan ‘gosip sana, gossip sini’ dunia hiburan yang banyak melekakan umat kita.

Fiqh adalah ilmu yang ‘holistic’ yang tidak hanya membicarakan soal hukum, tetapi ianya juga membicarakan tentang pentafsiran Quran, Sunnah dan hadis, memahami adat dan budaya masyarakat, matematik dalam ilmu faraid dan kewangan Islam.Daripada perbicaraan semua ilmu ini barulah keluarnya sesuatu hukum Fiqh pada akhirnya.


Akademi Fiqh(AF)-Impian Saya..


0 comments: