Renungan ini sempena Hari Belia yang disambut hari ini di negara kita..

Banyak kisah pemuda yang diceritakan dalam Quran...Antara kisah pemuda yang disebutkan dalam al-Quran ialah asbulkahfi(pemuda ahli gua)..Allah menyebutkan tentang kisah asbul kahfi yang sanggup beruzlah, lari daripada masyarakat semata-mata untuk menjaga dan memelihara kepercayaan agama tauhid yang diyakini...

Tulisan ini sangat ringkas dan tidak membicarakan perihal kisah mereka secara terperinci..Hanya menumpukan kepada pengajaran dan moral of story yang boleh dikutip daripadanya...


1- Al-Quran telah membentangkan sifat dan peribadi asbul kahfi ini dalam ayat ke 13 surah al-kahfi apabila Allah berfirman:

"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk."

Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini mengatakan:

"Bermula daripada ayat ini kisah mereka diterangkan dan dihuraikan.Allah Taala menyebutkan mereka FITYAH iaitu golongan pemuda, yang menerima kebenaran dan berada di jalan kebenaran berbanding dengan golongan yang lebih tua daripada mereka..Mereka yang tua itu telah melakukan kezaliman dan tenggelam dalam agama yang batil..Maka sebab itu lah kebanyakan mereka yang menerima hidayah daripada Allah dan dakwah daripada Rasul terdiri daripada golongan pemuda.Dan kebanyakan orang tua daripada kaum Quraish, majoriti atau kebanyakan daripada mereka kekal dalam agama mereka..dan begitu sedikit sekali daripada mereka yang beriman...Begitulah Allah menceritakan tentang asbul kahfi yang terdiri daripada golongan pemuda...

Telah berkata Mujahid: Telah sampai kepada aku bahawasanya pada telinga sebahagian daripada mereka terdapat anting-anting,maka Allah mengilhamkan kepada mereka petunjuk, memasukkan taqwa ke dalam hati mereka, maka mereka beriman dengan tuhan mereka iaitu mengakui keesaan Allah dan bersaksi tiada tuhan melainkan Allah..."

(Ibnu Kathir, Tafsir Al-Quran Al-A'zim, Dar Fikr, Juzuk 3, muka Surat 92)



2- Sebelum daripada itu, Allah telah menyebutkan doa yang telah dibacakan oleh mereka dalam ayat 10 surah al-kahfi:

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami".

Ibnu Kathir berkata:

"Allah taala menyebutkan tentang pemuda itu yang melarikan diri daripada kaum mereka dengan membawa pegangan agama tauhid mereka supaya mereka tidak mendapat dan selamat daripada fitnah dan maka sebab itulah mereka melarikan diri daripada kaum mereka..Maka mereka berlindung di gua untuk bersembunyi, menyembunyikan diri mereka daripada kaum mereka dan ketika mana mereka masuk kedalam gua itu mereka meminta rahmat dan belas kasihan Allah kepada mereka iaitu kurniakan kepada kami daripada sisi Engkau rahmat ,yang merahmati kami dan yang akan melindungi kami daripada kaum kami...Dan bagilah petunjuk dalam urusan kami dan kesudahan yang baik bagi urusan kami .."

( Ibnu Kathir, Tafsir, Al-Quran Al-A'zim, Dar Fikr, Juzuk 3, muka Surat 91)



3- Pendirian mereka yang teguh dalam ayat 14 surah al-kahfi...

"Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."

Ibnu Kathir mengatakan:

"Kami (Allah) menjadikan mereka orang yang sabar terhadap penentangan daripada kaum mereka dan sabar kerana terpaksa meninggalkan negara mereka yang mewah, bahagia dan penuh dengan nikmat itu..Disebutkan ramai mufassirin daripada salaf dan khalaf bahawa mereka adalah anak-anak raja dan pembesar Rom ketika itu..Pada suatu hari mereka keluar ke majlis keramaian kaum mereka di suatu tempat yang biasa mereka berkumpul padanya di luar kota...Kaum mereka menyembah berhala dan taghut dan melakukan korban penyembelihan untuk berhala itu..Mereka ini mempunyai seorang raja yang bernama Daqyanus..Raja inilah yang menyuruh dan memberikan galakan kepada rakyatnya untuk melakukan perbuatan syirik ini..Ketika mana kaum mereka keluar ke tempat perkumpulan itu, keluarlah pemuda-pemuda ini bersama dengan bapa-bapa dan kaum-kaum mereka...Mereka melihat dengan mata mereka sendiri apa yang telah dilakukan oleh kaum-kaum mereka..

Mereka mengetahui bahawa perbuatan-perbuatan ini seperti sujud dan melakukan penyembelihan korban untuk berhala adalah suatu perkara yang tidak boleh dilakukan kecuali hanya kepada Allah sahaja yang telah menciptakan langit dan bumi...Ini menjadikan mereka semua berlepas diri dan menjauhkan diri daripada kaum mereka dan pergi ke satu sudut yang lain...bermula dengan seorang yang duduk di bawah bayangan pokok, kemudian diikuti yang lain sehinggalah mereka berkumpul di situ..Mereka semua tidak kenal antara satu sama lain..tetapi apa yang telah menyebabkan mereka berkumpul disitu ialah iman yang ada di dalam hati mereka.."

(Ibnu Kathir, TafsirAl-Quran Al-A'zim, Dar Fikr, Juzuk 3, muka Surat 92)



Syeikh Abu Bakar Al-Jazairi antara lainnya mengatakan bimbingan dan pengajaran daripada ayat yang ke 14 ini ialah:

1-Kelebihan berani kerana haq dan menzahirkan diri terhadap kebenaran tersebut walaupun membawa kepada mati, dipukul dan dipenjarakan..

2-Kewajipan berhijrah ke jalan Allah..

3-Kelebihan orang yang meminta perlindungan daripada Allah dan cukuplah Allah sebagai pelindung kepada mereka berada di jalan yang benar...

(Al-Jazairi, Abu Bakar, Aisiru Tafasir lilJazairi, Maktabah Al-Ulum WalHikam, Juzuk 3, muka surat 243)...



Dalam Konteks semasa hari ini...Golongan pemuda seharusnya mencontohi peribadi asbul kahfi ini dengan:

1-Menjauhi segala aktiviti maksiat seperti majlis minum arak,percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batasan, tempat maksiat seperti tempat judi, Clubbing,night Club dlln...

2-Bertegas dan tidak kompromi dalam segala perkara dan isu yang boleh merosakkan aqidah Islam..

3-Memohon pertolongan Allah dalam segenap perkara yang kita lakukan..dan meyakini bahawa Allah sentiasa akan bersama dan mengabulkan permohonan kita...

4-Sentiasa bersama dengan kawan-kawan yang boleh membimbing kita ke arah jalan kebaikan dan mencegah kita ke jalan yang dimurkai Allah...

5-Keadaan hari menunjukkan ada baiknya pemuda bergerak ke tengah masyarakat untuk berdakwah kepada masyarakat..dan beruzlah(memencilkan diri beribadat) adalah bukan tindakan yang baik buat masa ini memandangkan banyaklah aktiviti-aktiviti dakwah yang boleh dilakukan dalam masyarakat kita hari ini...

6-Pemudalah yang sebenarnya yang banyak membantu perjuangan dakwah dan transformasi dalam masyarakat..Pemudalah agen perubahan kepada apa yang berlaku dalam masyarakat..Sejarah kegemilangan Islam juga banyak menunjukkan bahawa ramai pemuda yang membantu dan menjayakan episod perjuangan dakwah dan meneruskan dakwah tinggalan nabi ini...

7-Sesebuah negara itu masa depannya ditentukan oleh pemudanya..Jika baik akhlak pemudanya maka baiklah negara tersebut..Jika tidak, negara dan masyarakat itu sedang menuju kehancuran...

8-Masa muda, bukan hanya untuk berseronok semata-mata..Ia masa untuk kita melakukan sehabis baik, seboleh mungkin apa yang kita terdaya untuk mendekatkan diri kepada Allah ketika tenaga masih kuat, penglihatan dan pendengaran masih elok, dan kaki masih kuat berjalan...

9-Berbanding golongan tua, golongan muda lebih terbuka dan kritikal dalam menilai sesuatu perkara...Mengenepikan kepentingan dan sifat sombong, golongan muda mudah menerima sesuatu kebenaran dan sentiasa memihak kepada perkara yang benar...

10- Pemuda yang tersalah dalam mencari identiti diri..diseru kembali ke jalan kebenaran..Jalan pulang(bertaubat) terlalu luas..Insan boleh kembali ke pangkuan Allah bila-bila masa sahaja...

dan banyak lagi yang boleh kita ambil daripada kisah Ashabul Kahfi ini...


Mudah-mudahan Allah menjadikan kita pemuda seperti ashabul kahfi dalam meniti kehidupan di usia yang semakin meningkat remaja dan dewasa ini....


Terjemahan tafsir Ibn Kathir dan Aisir tafasir.. ini adalah terjemahan bebas peribadi saya sendiri yang mungkin ada silap dan salahnya..Sebarang teguran dan kritikan amatlah dialu-alukan...Kepada Allah saya memohon keampunan di atas kesalahan yang tidak disengajakan...



Ameen...

WaAllahualam

0 comments: