
Al-Quran telah menghidangkan dan membentangkan cerita-cerita yang bukan sahaja indah susunan ayatnya, apatah lagi cerita itu mempunyai seribu satu pengajaran dan hikmah kebijaksanaan.Maka sewajarnya bagi kita Umat Islam untuk kembali memahami,menghayati, dan mengamalkan pengajaran yang serba rencam ini.
Salah satu daripada cerita terindah daripada Al-Quran yang sarat dengan pengajaran ialah cerita Yusof As-Siddiq.Cerita Yusof mengajar kita akan erti sebuah kehidupan di bawah lembayung rahmat dan pertolongan tuhan semesta alam semata-mata.Apalah erti kebesaran dan kekuatan tanpa di pandu dengan lampu suluh 'hidayah' dan inayah daripada Yang Maha Esa.
Alhamdulillah,saya telah berkesempatan untuk 'menelaah' kisah Yusof As-Siddiq ini melalui kelas 'Ayat mukhatarah min quran' ustaz saya ,Ustaz Zamri.Sungguh hebat percaturan Allah dan kekuasaan Nya apabila kita 'menelaah' kembali dan menelusuri perjalanan kehidupan Nabi Allah Yusof.
Segala catatan hidup baru Yusof As-siddiq bermula Yusof Bermimpi melihat sebelas bintang,matahari, dan bulan sujud kepadanya.Yaakob, bapanya telah memerintahkannya supaya merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan adik-beradiknya.Jangkaan Yusof nyata tepat apabila 'tercetusnya' rasa dengki adik-beradik Yusof sebapa lain ibu apabila kasih sayang Yaakob kepada Yusof mengatasi daripada adik-beradiknya yang lain.
'Hasad' telah memadamkan erti sebuah kasih sayang dalam hati adik-beradik yusof yang lain apabila tergamak 'membuang' Yusof ke dalam perigi.'Hasad' juga telah memberanikan adik-beradik yusof untuk menipu ayah kandung mereka sendiri.
Manusia merancang, Allah juga merancang, tetapi rancangan Allah itulah yang hakiki.Yusof yang keseorangan diri di dalam perigi telah diambil dan 'dijual' oleh pedagang kepada seorang bangsawan Mesir, salah seorang menteri atau penasihat kepada raja Mesir.Yusof membesar dalam kehidupan yang selesa dan selamat.
Yusof mempunyai fizikal dan rupa paras yang mengagumkan bagi sesiapa yang melihatnya.Tidak hairanlah jika perempuan yang melihat Yusof boleh memotong jari mereka sendiri dek takjub dengan rupa paras Yusof As-Siddiq.Kekaguman mereka memuncak apabila mereka mengatakan Yusof bukanlah manusia tetapi Yusof adalah malaikat.SubhanaAllah Maha suci Allah.
Ketampanan yang ada pada Yusof rupanya membawa fitnah dan ujian kepada jiwa Zulaikha, isteri Aziz dan Yusof sendiri.Jiwa dan nafsunya meronta-ronta untuk ‘bersatu’ dengan Yusof As-Siddiq.Allah telah memelihara hambaNya yang soleh walaupun ruang untuk Zulaikha dan yusof'bermukah' terhidang luas.Yusof dengan tegas mengucapkan"Aku berlindung dengan Allah".Iman mendalam yang ada dalam diri Yusof telah menyebabkan Yusof berjaya menghadapi ujian Allah yang serba berat ini.
Iman yang benar juga menarik hati Yusof untuk memilih kehidupan di penjara.Sekali lagi perancangan Allah yang Maha Hebat berlaku ke atas diri Yusof.Walau di mana sekalipun dirinya berada, Yusof sedar akan tanggungjawabnya untuk berdakwah.Yusof bijak menggunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk mengajak 'banduan' penjara untuk mengabdikan diri kepada tuhan yang satu.
Bak kata pepatah bersusah-susah dulu,bersenang senang kemudian.Dari celah-celah kepayahan hidup di penjara, Yusof mendapat kemuliaan dan pembelaan daripada Allah.Berbekalkan ilmu dan kebolehan mentafsir mimpi raja, Yusof diangkat menjadi seorang menteri dan penasihat raja.
Dengan kedudukan sebagai menteri inilah, Yusof berjaya menemui dan berjumpa kembali dengan adik-beradik dan bapanya Yaakob.
Kisah Yusof ini sepatutnya menggerakkan hati dan memotivasikan diri kita untuk menjiwai wataknya:
Patuh dan taat kepada arahan dan suruhan
Sabar dengan segala rencam ujian kehidupan.
Mampu menangkis ajakan dan godaan jahat seorang wanita.
dan banyak lagi wataknya yang wajar kita teladani...
Menjiwai Wataknya-Kamukah Yusof
"Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan i'tibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.(Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang mahu beriman."
Baca Seterusnya...