Entry kali ini, InsyaAllah saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang apa yang saya telah pelajari sepanjang First Sem di Gombak.Moga perkongsian ini memberikan manfaat dan faedah kepada kita semua.

Al-Mujadalah gelaran yang telah dinisbahkan kepada seorang mukminah solehah.Khaulah Binti Tha'labah begitulah namanya.Namanya mekar harum sejak turunnya beberapa ayat terawal daripada surah Al-Mujadalah hinggalah sekarang.Popularitinya tidak pernah luput ditelan zaman dan kisahnya sentiasa meniti di bibir umat ini tatkala membaca dan mentadabbur hati dan akal bagi mengambil pengajaran daripada kisahnya.


Allah telah menurunkan beberapa ayat terawal daripada surah Al-Mujadalah disebabkan rayuan daripada Khaulah agar Allah menyelesaikan masalah yang sedang beliau hadapi.Masalah itu cukup besar pada hemat beliau.Ianya soal hidup dan mati, soal maruah dan harga diri,soal hak atau batil, soal sah atau batal.Apakah sebenarnya yang telah membelenggu kehidupan beliau dan apakah yang boleh dan telah dilakukan oleh Mukmimah berjiwa besar ini bagi menyelesaikan masalah yang sedia terhidang di hadapannya.Zihar itulah persoalan yang sedang bermain di fikiran Khaulah RA.

Untuk itu marilah kita lapangkan jiwa, bukakan pintu hati untuk sama-sama memahami episod sebenar 'dilemma' yang dihadapi oleh Khaulah.'Dilemma' itu mungkin akan terjawab apabila kita membaca 'Asbabun Nuzul'(Sebab-sebab turun Ayat permulaan Surah Al-Mujadalah ini).

"Dari Aisyah r.a. bahawasanya ia berkata" Maha Suci Allah Yang Maha Mendengar Semua suara."Telah datang Al-Mujadalah-Khaulah binti Tha'lbah-dan beliau telah bercakap dengan Rasulullah SAW.Sedang Aku(Aisyah) ketika itu berada di rumah dan aku mendengar perkataan Khaulah.Tetapi ada juga sebahagian percakapannya tidak ku dengar.Dia(Khaulah) telah mengadu tentang perbuatan suaminya ke atas dirinya.Dia(khaulah) berkata: Ya Rasulullah,dia(yakni suaminya) telah menghabiskan masa mudaku dan aku telah memberinya banyak anak.setelah usiaku lanjut dan aku tidak boleh mengandung lagi,dia telah 'menzhiharkan aku'.Ya Allah Aku mengadu hal aku kepada Mu.

Aisyah berkata" Tidak lama kemudian Jibril datang membawa ayat-ayat tentang Zhihar."

(Dikeluarkan Al-Bukhari,Ibn Majah, dan Al-Baihaqi).Saya tidak berapa berani untuk menterjemahkan riwayat ini dengan pemahaman saya sendiri melainkan saya merujuk kitab yang menterjemahkannya terlebih dahulu.Bahkan penerangan zihar di bawah pun dengan merujuk kitab terlebih dahulu.

(Boleh rujuk kitab Ayatul Ahkam oleh Ali As-Sabuni terjemahan oleh Saleh Mahfoed).

Sedikit Tentang Zihar.

Zihar bolehlah diertikan sebagai menyamakan isteri dengan ibu.Sebagai contohnya ia berlaku apabila seorang suami berkata kepada isterinya "Engkau ini seperti punggung ibuku".Zihar merupakan talak pada zaman jahiliah dengan mengumpamakan isteri sebagai ibu kandung yang haram dinikahi sampai bila-bila.

Maka Islam membatalkan hukum jahiliah ini dan dalam Islam suami haram mendekati isterinya yang telah diziharkan.Namun bezanya ialah Islam tidak menyamakan antara zihar dengan talak sebagaimana Orang jahiliah menyamakan zihar dengan talak.Zihar mempunyai kifarah untuk membolehkan suami kembali kepada isterinya yang telah diziharkan.Kifarahnya ialah membebaskan seorang hamba,jika tidak mampu berpuasa selama 2 bulan berturut-turut, dan jika tidak mampu juga memberi makan 60 orang miskin.

Surah Al-Mujadalah

Surah ini adalah surah madaniah yang mengandungi hukum yang bolehlah diringkaskan seperti berikut:

Hukum Zihar,

Kifarah Zihar,

Hukum berbisik-bisik

Adab-adab ketika dalam majlis

Hukum memberikan Sedekah sebelum berbicara dengan Rasulullah.Tetapi hukum ini dinasakhkan.

Suruhan dan arahan supaya Orang beriman tidak mencintai Orang kafir yang menjadi musuh bagi mereka, walaupun Orang kafir itu adalah bapa-bapa mereka,anak-anak mereka, saudara-saudara mereka, dan kaum kerabat mereka.

Input

Lihatlah kepada peri laku Khaulah Binti Tha'labah RA yang sedang berada dalam dilemma itu.Tidak ada manusia lain yang dijumpainya jika mempunyai sesuatu masalah melainkan Rasulullah SAW orangnya.Tidak cukup dengan berbicara dengan Rasulullah SAW,Khaulah RA telah merintih dan mengadukan masalahnya secara 'direct' kepada Allah Tuhan Segala Makhluknya.

Kita juga sepatutnya begitu.Jika mempunyai masalah, apa lagi mohonlah pertolongan daripada Allah.Allah tempat kita mengadu dan mengharapkan sesuatu.Bahkan Allah sendiri menyukai hambaNya yang suka merintih kepadaNya.Allah telah mendengar rintihan Khaulah RA lalu memberikan penyelesaian yang terbaik kepada beliau.

Surah ini juga mengajar kita supaya menghargai nikmat Iman dan Islam sebagai sebesar-besar nikmat Allah.Penghargaan kepada nikmat ini dibuktikan oleh Orang Mukmin apabila sanggup membenci dan tidak mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada mereka yang menentang dan menolak Islam.Walaupun yang mereka kasihi itu ialah bapa mereka,anak mereka,saudara mereka,dan keluarga mereka.

Apalagi Jom kita berusaha merealisasikan input yang begitu berharga daripada surah ini.Wa Allahualam.


2 comments:

'izzahUlfah said...

Assalamu'alakum..

Bagus dik, keep on sharing da knowledge =)

Nanti nak major ape? Akak, Qur'an Sunnah hehe (promote2 :p)

Wassalam..

Izzu Aldin said...

Waalaikumusalam...

Major fiqh kot...