Umum mengetahui bahawa dunia pada hari ini sedang mengalami krisis Ekonomi global yang parah. Ia telah mengundang pelbagai masalah yang cukup membebankan.Saya tidak berhajat untuk menyebutkan kesan-kesannya.

Namun apa yang ingin saya perkatakan di sini, bencana ekonomi ini sebenarnya berpunca daripada lemah dan rapuhnya iman manusia yang ada pada hari.Bunyinya mungkin agak pelik dan janggal bagi sesetengah pihak.Namun itulah realiti sebenarnya.

Mengapa saya berpendirian sedemikian.Adakah semua ini mempunyai kaitan dengan aqidah kita semua.

Memang tidak dapat dinafikan lagi, bahawa krisis ekonomi yang ada pada hari ini memang berpunca daripada masalah ketidakpercayaan kita kepada Zat Yang Maha Agung.Allah Tuhan yang Maha Agung,padanya sahajalah terletak kesempurnaan dan kekuasaan.

Hanya Dia sahaja yang berhak disembah dan diabdikan diri kepadaNya.Sejarah telah membuktikan Gejala Syirik telah bermula sejak sekalian lamanya, bermula daripada zaman Nuh AS hinggalah ke hari ini.

Gejala Syirik inipun sebenarnya mempunyai pembaharuan dan revolusi daripada zaman ke zaman.Di zaman Nuh AS dan nabi-nabi yang lain, syirik lebih tertumpu kepada penyembahan berhala, patung-patung yang dipuja dan diagung-agungkan.

Tidak dinafikan syirik dalam bentuk yang lain juga wujud, namun yang jelasnya minda dan hati mereka dikuasai syirik penyembahan patung-patung dan berhala yang disembah.

Syirik pada zaman sekarang pula telah mengalami transformasinya tersendiri.Apabila patung-patung yang dulunya disembah, digantikan dengan harta,wang, kemewahan yang dijadikan tuhan-tuhan baru yang disembah.Bagi hamba dan pemuja harta,wang dan kemewahan adalah segala-galanya dalam hidup mereka.

Harta, wang dan kemewahan menyebabkan manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya,tanpa mengira halal haram dosa pahala.Sama ada menindas orang lain ataupun tidak, menzalimi atau tidak, semua ini tidak berada di dalam minda manusia.Yang difikirkan hanyalah harta, wang dan kemewahan perlu jatuh ke tangan mereka.

KENAPA MANUSIA JADI BEGINI

Ini tidak lain,tidak bukan kerana manusia telah terpengaruh dengan fahaman moden barat yang tidak bertuhankan Allah sebagai Sang Pencipta.Inilah Fahaman yang mensyirikkan Allah.Fahaman yang sesat ini telah diterima oleh seluruh Dunia termasuklah Umat Islam tanpa berfikir panjang dalam memahaminya.Hanya Taqlid buta menjadi jambatan yang menghubungkan diri mereka dengan fahaman ini.Maka jadilah mereka hamba kepada tuhan yang baru dilantik ini.

APAKAH FAHAMAN SESAT ITU.

Umat Islam terjerumus ke jurang kebinasaan dek kerana menganut fahaman sosialisme,komunisme,kapitalisme dan lain-lain.Dasar kepada semua fahaman ini adalah berteraskan kepada ekonomi.Ekonomi adalah segala-galanya dan menjadi rukun kebahagiaan sesebuah masyarakat.

Sosialisme dan komunisme misalnya memilik negarakan harta yang ada pada rakyat sesebuah Negara.Ini bermakna taraf hidup masyarakat mestilah sama, tidak ada yang miskin bahkan tidak ada yang kaya.Yang ada cumalah manusia yang pertengahan.Sejarah telah membuktikan bahawa fahaman ini memusnahkan hidup manusia apabila Kerajaan Soviet yang suatu ketika dahulu gah di persada dunia hancur dan lenyap di atas muka bumi Allah.

SEKARANG

Kapitalisme pula suatu fahaman yang cukup menindas, apabila mengkayakan golongan kaya dan terus memiskinkan orang yang miskin.Orang kaya bertambah kaya, dalam masa yang sama orang miskin semakin sengsara tanpa ada sinar dalam kehidupan mereka

“Aku kaya dan ingin terus menguasai kekayaan, soal orang miskin, apa aku peduli.”

Sistem ini juga menemui kegagalannya, apabila ekonomi dunia pada hari ini tenat dan manusia masih lagi buntu untuk mengatasinya.

PENYELESAIANNYA.

Marilah kita kembali kepada keadilan hakiki yang ada pada Islam.Keadilan islam sangat menentang sistem riba yang menghisap darah manusia, menentang penindasan sistem kewangan yang berat sebelah. Islam yang berteraskan keadilan sejagat mengizinkan manusia untuk menjadi kaya, tetapi dalam masa yang sama manusia yang kaya mestilah menolong yang miskin dengan mengeluarkan zakat,bersedekah,mewakafkan harta yang ada pada mereka dan sebagainya.

Islam sama sekali tidak menafikan hak manusia untuk menikmati kemewahan, bahkan Islam menggalakkan Umatnya menjadi Umat yang kaya raya.Pun begitu Islam ingin mendidik Umatnya supaya menjalankan tangungjawab sosial kepada sesiapa yang tidak berkemampuan agar jurang antara si miskin dan si kaya dapat dirapatkan.

Untuk memahami lebih lanjut perkara ini, saya mencadangkan anda membaca buku Sayid Qutb(Al-Adalah Ijtimaiyyah)-Keadilan Sosial dan buku Dr Yusof Qaradawi (Daur al-qim wa Al-akhlak fil Iqtisod)-Peranan Nilai dan Akhlak dalam Ekonomi.

Di sini suka saya memetik pandangan Syeikh Dr Yusuf Qaradawi yang mengulas tentang krisis ekonomi sekarang :

Umat Islam harus mengambil manfaat(kesempatan) daripada krisis kewangan sedunia sekarang untuk membangun sebuah sistem ekonomi sejajar dengan ajaran Islam, kata ulama Sunni terkenal, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, kelmarin.

'Runtuhnya sistem kapitalis berdasarkan riba dan kertas, dan bukan barangan yang diperdagang di pasaran, adalah satu bukti bahawa ia dalam krisis.

'Ia sekali gus menunjukkan bahawa falsafah ekonomi Islam masih bertahan,' katanya dalam satu persidangan mengenai Baitulmakdis di sini Ahad lalu.

'Sistem Barat telah runtuh. Kita mempunyai sebuah falsafah ekonomi menyeluruh dan kekuatan kerohanian.'Semua kekayaan milik kita. Negara Islam menguasai semua atau hampir semua minyak dunia. Dan kita mempunyai falsafah ekonomi yang tidak dimiliki orang lain,' kata Sheikh Al- Qaradawi.

Beliau menggesa umat Islam supaya 'mengambil manfaat daripada krisis sekarang untuk membawa kemenangan kepada umat Islam, yang menguasai sumber kerohanian dan kebendaan bagi kemenangan'.

Persidangan itu dihadiri 300 perwakilan parti politik, termasuk badan bukan pemerintah Islam dan Kristian, dari pelbagai negara.

Ia dianjurkan Institut Al-Quds Antarabangsa (AII), yang berjuang bagi pemuliharaan Bailtumakdis dan tempat ibadahnya.

Persidangan selama tiga hari itu turut dihadiri pemimpin Hamas dalam buangan, Encik Khaled Meshaal, dan Encik Ali Akbar Velayati, penasihat kanan kepada pemimpin rohani Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

'Kita sedang menyaksikan runtuhnya Empayar Amerika,' kata perdana menteri Hamas di jaluran Gaza, Encik Ismail Haniyeh, Jumaat lalu.'Apa yang berlaku di Amerika adalah akibat pencabulan hak asasi rakyat Palestin, Somalia, Iraq, Afghanistan dan umat Islam di seluruh dunia,' tambah beliau. -- AP, AFP. Buletinonline

0 comments: