Sumber:MStar Online
12 Sukarelawan Malaysia Dibebaskan, Kini Di Jordan

Oleh MUIN ABDUL MAJID

DUBAI: Seramai 12 sukarelawan Malaysia yang berada dalam kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang Israel kini selamat dan sedang dalam perjalanan melalui darat ke Amman, Jordan.

Rombongan itu diiringi Duta Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malek Abdul Aziz and pegawai kedutaan yang lain.

Sebelum itu, rakyat Malaysia telah melepasi sempadan Jordan.

"Kesemua mereka selamat dan berada dalam keadaan baik," kata duta itu kepada BERNAMA apabila dihubungi dari Dubai. Katanya kesemua sukarelawan hanya sehelai sepinggang dan tidak mempunyai pasport.

Kesemua 12 rakyat Malaysia itu adalah antara mereka yang ditahan oleh tentera Israel yang menyerbu kapal Mavi Marmara sebuah kapal Turki iaitu salah sebuah daripada armada kecil kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza pada Isnin.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dijangka tiba di Amman hari ini.

Abdul Malek berkata Kementerian Luar Malaysia dan pihak kedutaan akan menyediakan semua persiapan bagi memudahkan sukarelawan itu pulang ke Malaysia.

Salah seorang daripada mereka, Noor Azman Muhamad Samsuddin memberitahu, serangan yang dilakukan pada awal pagi oleh tentera komando Israel adalah pengalaman yang mengerikan.

Katanya sebahagian besar penumpang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza, yang telah disekat Israel sepanjang tiga tahun yang lepas, tidak menyangka akan menerima tentangan dari tentera Israel sewaktu insiden maut tersebut.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam serangan itu, menyebabkan Israel dikutuk di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Menurut Noor Azman, dua sukarelawan Indonesia juga tercedera dalam serangan tersebut.
-M Star-


SYUKUR KITA

Kita mengucapkan syukur kepada Allah, sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam konvoi kemanusiaan LL4G masih hidup dan selamat.Walaupun jauh di sudut hati mereka, mungkin ada yang mendambakan syahid dalam misi kemanusiaan kali ini.

Cuba kita renungkan ucapan mereka ini:

Sumber:LL4G


Aku hanya berwasiat pada kalian andainya kami tiada – teruskanlah perjuangan ini, tingkatkanlah dakwah kepada masyarakat, mantapkanlah tarbiyah diri, keluarga dan anak-anak didik kalian yang ada.”

Demikian antara amanat yang ditinggalkan oleh Ketua misi konvoi Lifeline4Gaza dari Malaysia ke Gaza, Sdr Noorazman Mohd Samsuddin yang akan berangkat ke Turki pada 19hb Mei nanti. Amanat tersebut dibuat selepas senarai peserta konvoi dari Malaysia diumumkan.

Peserta konvoi dipilih dan disaring oleh penganjur utama projek, Pertubuhan Hak Asasi dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) yang berpusat di Turki. Seramai 6 orang sukarelawan dan 4 orang wakil media dari Malaysia akan menyertai konvoi kapal antarabangsa bersama-sama dengan lebih daripada 600 orang peserta dari puluhan negara.

“Saya bagi pihak peserta yang lain menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada apa-apa kesalahan, kesilapan yang dilakukan sebelum ini.


Sekiranya kami tidak pulang ke Malaysia, maafkanlah kesalahan kami, halalkanlah makan minum kami, bantulah keluarga kami.”

“Semoga Allah terima semua amalan kita.”

“Ya Allah! Kuatkanlah hati-hati kami atas jalanMU.”

Beliau juga meninggalkan pesan kepada seluruh warga yang prihatin dengan perjuangan membebaskan bumi Palestin agar terus berjuang tanpa henti. Begitu juga kepada semua yang cakna dengan masa depan umat agar mempertingkatkan usaha dakwah kepada masyarakat dan memantapkan usaha tarbiyah bermula dengan diri dan ahli keluarga dan seterusnya anggota masyarakat.

“Aku hanya berwasiat pada kalian andainya kami tiada – teruskanlah perjuangan ini, tingkatkanlah dakwah kepada masyarakat, mantapkanlah tarbiyah diri, keluarga dan anak-anak didik kalian yang ada.”

“Jangan biarkan darah yang gugur di bumi Al-Aqsa menjadi hujah menentang kita di hadapan Allah atas kelalaian, kemalasan dan kejumudan amalan-amalan kita.”
“Ya Allah! Bantulah kami”

Peserta konvoi dari Malaysia akan bertolak ke Istanbul pada 19hb Mei dengan kapal terbang untuk menaiki kapal yang sedang menunggu di sana. Konvoi kapal dijangka akan bertolak dari Istanbul ke Antolia (Antalya) pada 21hb Mei dan akan belayar ke Gaza dua hari kemudian. -ihhh... -LL4G-

TAKDIR ALLAH

Namun takdir ketentuan Allah itu tersangatlah baik.

Dalam masa yang sama, kita menangisi dan berdukacita terhadap pemergian mereka yang gugur terkorban dalam misi kemanusiaan kali ini.

Semoga mereka adalah termasuk di kalangan mereka ini:

Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: "Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita". Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.
Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya),
supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu karena kebenarannya, dan menyiksa orang munafik jika dikehendaki-Nya, atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(surah Al-Ahzab ayat: 21,22,23).

Bagi yang terselamat, semoga mereka semua selamat sampai ke Malaysia InsyaAllah.Selepas ini, diharapkan banyak program-program atau ceramah ‘perkongsian pengalaman mereka ini’ akan diadakan di mana-mana bagi menyuntik dan menyuburkan semangat kita semua supaya lebih prihatin terhadap isu saudara seagama di Palestin.

Lebih baik lagi, jika pengalaman mereka ditulis dan dibukukan bagi bacaan dan tatapan semua generasi kita.

Moga dengan usaha ini generasi kita mengetahui bahawa Negara ini, tanah tumpah mereka ini bukan sahaja mempunyai mereka yang boleh mendaki puncak tertinggi dunia, Everest, menjejakkan kaki ke kutub utara dan selatan, mengelilingi dunia dengan basikal, tetapi lebih manis lagi, Negara ini mempunyai wira-wira yang mampu menawan puncak ‘keegoan dan keangkuhan’ tentera Zionis yang paling kejam dalam dunia.

Saya sangat bersetuju dengan cadangan Ust Maszlee Malik, supaya mereka ini diberikan anugerah gelaran Dato’ atas semangat dan keberanian yang telah ditunjukkan.Tahniah ke atas mereka semua, walaupun misi kali ini kelihatan gagal untuk menyampaikan sumbangan, tetapi ianya tetap memberikan ‘pukulan maut’ kepada Israel dan membuka mata dan telinga masyarakat dunia tentang siapa sebenarnya Israel..

Tahniah Wahai Perwiraku...


0 comments: